Lelaki didenda RM3,000 benar maklumat palsu daftar kelahiran bayi

Abd Razak Mohd Ali
Mei 18, 2022 11:55 MYT
Muhammad Ridzuan Chan mengaku bersalah membenarkan maklumat palsu mengenai daftar kelahiran seorang bayi dua tahun lalu. - Astro AWANI
IPOH: Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan maklumat palsu mengenai daftar kelahiran seorang bayi perempuan dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Mengikut kertas pertuduhan, pekerja kontrak itu didapati telah membenarkan membuat catatan palsu dalam daftar kelahiran seorang bayi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan UTC Ipoh, kira-kira jam 11 pagi, 10 September 2020.
Dia didakwa di bawah Seksyen 36 (1) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hisam Saruddin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana bayi itu bukan dilahirkan isteri Muhammad Ridzuan, sebaliknya rakan isterinya, seorang warga Indonesia.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara 4 bulan, jika gagal membayar denda.
Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Harbhajan Singh, membayar denda tersebut.
#daftar kelahiran #maklumat palsu #mahkamah majistret ipoh #warga Indonesia
;