Lelaki didenda RM250, ceroboh landasan LRT
Bernama
Januari 20, 2025 16:15 MYT
Januari 20, 2025 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pengumpul besi buruk didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan landasan Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.
Ringkasan AI
- Pengumpul besi buruk, Wong Han Chuan, didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret kerana menceroboh kawasan landasan LRT.
- Wong Han Chuan akan dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda tersebut.
- Peguamnya memohon denda minimum kerana Wong tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengumpul besi buruk untuk dikitar semula.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Han Chuan, 43, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Stesen LRT Chan Sow Lin, Wangsa Maju di sini pada 3.35 petang mengikut Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Wong memohon denda minima atas alasan anak guamnya masih bujang tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengumpul besi buruk untuk dikitar semula.
-- BERNAMA