Lelaki didenda RM20,000 jual kotak TV Android
Astro Awani
Ogos 4, 2023 08:50 MYT
Ogos 4, 2023 08:50 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas mengaku bersalah menjual kotak TV Android yang mengandungi kandungan yang tidak dibenarkan.
Leong Wei Xiang, 23, didakwa mengikut Seksyen 43AA(2) Akta Hak Cipta 1987, yang membawa hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Wei Xiang membayar denda yang dikenakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan dia didapati memiliki empat kotak TV Android dengan kandungan yang tidak dibenarkan pada 21 Oktober 2022, di sebuah premis di Dataran Pandan Prima, Selangor.
Sementara itu, Astro dalam kenyataannya berkaitan memaklumkan sehingga kini sudah memfailkan lima tindakan perundangan terhadap kegiatan pelanggaran hak cipta.
Sejumlah 10 individu sudah didapati bersalah dan didenda.
Akta Hak Cipta 1987 telah ditambah baik melalui pindaan Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2022.
Pindaan ini menjenayahkan penjualan alat penstriman haram dan aplikasi berkaitan yang membolehkan akses kandungan yang mempunyai hak cipta.