Lelaki didakwa ugut simbah asid, bunuh isteri

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 11, 2020 12:21 MYT
Mohd Azhar Samsuddin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengugut bunuh dan mencederakan isteri. -Astro AWANI/Adie Sufian Zulkefli
KULIM: Seorang lelaki didakwa atas dua pertuduhan mengugut bunuh dan mencederakan isteri berusia 40 tahun menggunakan asid pada 28 September lalu.
Tertuduh Mohd Azhar Samsuddin, 42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Che Rohana Ismail di Mahkamah Sesyen Kulim.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa dengan cuba menyimbah asid di hadapan Masjid Sungai Kob, Kulim kira-kira jam 7.45 pagi 28 September.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan khianat terhadap mangsa dengan memusnahkan harta milik mangsa pada tarikh dan waktu di tempat yang sama.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas faktor keselamatan terhadap mangsa.
Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kamal Pasha, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya.
Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.
#Mahkamah Sesyen #Mohd Azhar Samsuddin #ugut bunuh #simbah asid #Che Rohana Ismail #Masjid Sungai Kob #Seksyen 506 Kanun Keseksaan
;