Lelaki didakwa perdaya kontraktor untuk dapatkan kontrak RM1.5 juta
Sinar Harian
Februari 27, 2024 14:15 MYT
Februari 27, 2024 14:15 MYT
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdaya seorang kontraktor untuk memberikan wang sebanyak RM150,000 bagi projek pembaikan sekolah di Beluran.
Bagaimanapun tertuduh, Sidu Edin, 58, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga pada Selasa.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebagai balasan bagi mendapatkan projek pembaikan kerja-kerja darurat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan Sugut bernilai RM1.5 juta sedangkan projek tersebut tidak wujud.
Pada kira-kira jam 8 malam 26 Mac 2019, tertuduh ketika di sebuah hotel di daerah ini didakwa menipu seorang kontraktor dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantunya mendapatkan projek pembaikan kerja-kerja darurat di sekolah tersebut.
Sehuhungan itu, tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 kepadanya yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.
Sidu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan RM3,000 untuk didepositkan ke mahkamah dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah seterusnya memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu kes itu diselesaikan.
Prosiding dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi dan tertuduh diwakili peguam Mohd Fadzri Azham Zainudin.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes 2 April depan. - Sinar Harian