Lelaki didakwa memandu melulu, rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor
Astro Awani
Julai 18, 2022 13:52 MYT
Julai 18, 2022 13:52 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memandu secara melulu hingga melanggar 11 kenderaan di Tambak Johor, 7 Julai lalu.
Tertuduh, Amir Hasan Jalani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret, Zuhainie Zullkafli.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan 11 buah kenderaan di Jalan Tambak Johor, Johor Bahru kira-kira, 9.25 pagi 7 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan jJlan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi 15 tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, pemilik syarikat Level Hill Auto Parts Sdn Bhd menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana lori yang dipandu Amir Hasan itu didapati membawa lebih muatan berjumlah 91,240 kilogram, berbanding 41,000 kilogram yang dibenarkan.
Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala tertuduh dan syarikat tersebut diwakili peguam Bustamam Menon Abdul Hamid Menon.
Kedua-dua tertuduh kemudiannya dibenarkan ikat jamin RM4,000 dan RM3,000 masing-masing.
5 September depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Kejadian pada 7 Julai itu berlaku apabila lori yang membawa muatan habuk batu itu hilang kawalan dipercayai akibat kerosakan teknikal pada bahagian brek.