Lelaki didakwa intai pembaca berita
Bernama
September 22, 2023 16:06 MYT
September 22, 2023 16:06 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghendap seorang pembaca berita wanita di tempat kerjanya dan melalui media sosial, minggu lepas.
Muhammad Azhari @ Azari Abd Rahman, 55, didakwa melakukan pengintaian terhadap Ainaa Kamalia Jamaludin, 31, dengan menghantar mesej melalui media sosial dan berulang kali pergi ke tempat kerja wanita itu di Awesome TV, di sini pada 4 petang, 17 Sept lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, Muhammad Azhari yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat beberapa kali menyatakan: "Saya nak (hendak) jumpa dia (sahaja)".
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim berkata: "Kamu ada peguam, biar peguam kamu yang cakap" dan tertuduh dilihat berdiam diri selepas ditegur majistret.
Pegawai Pendakwa ASP Muhamad Sapri Yaakub menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah ahli keluarga tidak berhasrat untuk menjamin dan memohon agar tertuduh dihantar ke hospital untuk mendapatkan status kesihatan mentalnya.
"Saya ingin membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar anak guam dihantar ke hospital berhubung kesihatan mentalnya.
"Sebelum ini, dia pernah didaftarkan di Jabatan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi dia tidak pergi untuk mendapatkan rawatan. Mohon satu tarikh singkat untuk saya dapatkan rekod daripada HKL," kata Mohamad Zaidi.
Muhamad Sapri tidak membantah permohonan itu.
Atiqah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Okt ini untuk mendapatkan rekod tentang kesihatan mental tertuduh.
Pada 29 Mac lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dengan seksyen baharu 507A dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan menghendap.
-- BERNAMA