Lelaki didakwa guna kedudukan lantik anak saudara dapatkan tender kantin

Bernama
Ogos 30, 2022 17:48 MYT
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada 11 Nov 2015. - Gambar hiasan
SANDAKAN: Seorang penolong pegawai pendidikan daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin sebuah sekolah bernilai RM50,400.
Tertuduh Mahalay @ Mahali Jahaya, 48, dituduh melakukan kesalahan itu melibatkan tender kantin sekolah SK Bukit Garam II, Kinabatangan dengan mengambil tindakan dalam proses pemilihan penawaran kerja untuk syarikat Damai Enterprise, yang pemiliknya adalah anak saudaranya Amiruddin Baro, 37, bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Dis 2015 hingga 30 Nov 2018.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan pada 11 Nov 2015.
Mahalay didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan RM4,000 didepositkan oleh seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 7 Okt depan untuk sebutan semula.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Jaswant Singh.
-- BERNAMA
#lantik anak saudara #penolong pegawai daerah #tender #kantin #Mahalay Mahali Jahaya #SK Bukit Garam II #Kinabatangan
;