Lelaki didakwa edar 765 gram heroin

Bernama
Ogos 16, 2024 17:30 MYT
A. Kalaiahmuthan (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dengan anggaran berat 765 gram. - Foto Bernama
IPOH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dengan anggaran berat 765 gram, minggu lepas.
A. Kalaiahmuthan, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, namun tiada pengakuan direkodkan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Gurney di sini kira-kira 8.40 malam, 7 Ogos 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati hendaklah disebat dengan 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam Arifah Zakiah Badruzzaman.
Mahkamah menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia selain tiada jaminan ditawarkan.
-- BERNAMA
#lelaki didakwa edar dadah #A Kalaiahmuthan #mahkamah majistret ipoh #Jalan Gurney