Lelaki didakwa cederakan isteri selepas bertelingkah pasal harta
Shuhada Abdul Kadir
September 6, 2022 14:00 MYT
September 6, 2022 14:00 MYT
AYER KEROH: Pertelingkahan pasangan suami isteri berhubung penukaran hak milik harta membawa padah kepada bapa tiga anak itu apabila didakwa memukul wanita itu sehingga cedera, Julai lalu.
Tertuduh Roslan Kamis, 54, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret mazana sinin.
Difahamkan, pergaduhan itu berlaku selepas isterinya yang sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga tahun lalu pulang ke rumah tertuduh dan memintanya menandatangani dokumen penukaran pemilikan harta.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dikatakan memukul bahagian kiri muka dan tangan kanan hingga mencederakan isterinya, Mazlena Md Ali, 47.
Kesalahan itu dilakukan di simpang jalan masuk Taman Tanjung Jaya, Tanjung Kling, Melaka pada jam 10.45 pagi, 25 Julai lalu.
Justeru tertuduh yang bekerja sendiri didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun dan denda RM2,000 jika sabit kesalahan.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nur Saari mencadangkan jaminan RM9,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.
Tertuduh yang diwakili peguam, N Gunalan bagaimanapun merayu jumlah jaminan berkenaan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dan melarang tertuduh mengganggu mangsa walau dalam apa cara sekalipun.
18 Oktober depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula.