Lelaki didakwa cedera isteri dengan kayu golf, baton besi

Sinar Harian
Jun 23, 2023 15:52 MYT
Azwan (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di Melaka pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang pekerja pengemas penginapan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas pertuduhan mencederakan isterinya.
Tertuduh, Azwan Azman,32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada isterinya yang berusia 28 tahun dengan menggunakan sebatang golf, sebatang baton besi dan sebatang kayu buluh.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas, di sini, pada jam 3.30 pagi, 19 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari membantah jaminan diberikan mengambil kira kecederaan parah yang dialami mangsa.
Tertuduh bapa dua anak yang diwakili peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah, bagaimanapun memohon jaminan rendah dikenakan terhadap tertuduh sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara kerana ibu tertuduh hanya membawa wang jaminan sebanyak RM4,000.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. -- Sinar Harian
#pukul isteri #kayu golf #Taman Seri Telok Mas #pekerja pengemas penginapan
;