Lelaki didakwa bunuh wanita baru dikenali menerusi aplikasi sembang
Astro Awani
Julai 4, 2022 12:42 MYT
Julai 4, 2022 12:42 MYT
KOTA TINGGI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh kenalan wanita yang baru dikenalinya melalui satu aplikasi sembang awal bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Safuan Ridzuan, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Safuan didakwa dengan niat melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita berusia 35 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di kilometer enam Jalan Kota Tinggi-Kluang berdekatan kampung Lipat Kajang, di Kota Tinggi, sekitar jam 10 malam pada 1 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati.
Dalam pada itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas satu pertuduhan lain, memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badan pada 23 Jun lalu, sekitar jam 1.25 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Tinggi.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan forensik dan kimia bagi kes bunuh dan patologi untuk dadah.