Lelaki didakwa bunuh ibu

Bernama
Julai 3, 2024 18:40 MYT
Tiada pengakuan direkodkan daripada Lai Jun Yong, 33, hari ini. - Gambar/ Bernama
JEMPOL: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya di sebuah rumah di Bahau di sini, bulan lepas.
Pertuduhan terhadap Lai Jun Yong, 33, dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lai didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Chew Sok Ha, 63, di sebuah taman perumahan di Bahau, pada 11.55 pagi, 25 Jun lepas.
Perbuatan tersebut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Farahidah Zool Beri memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor untuk penilaian mental terlebih dahulu mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan kes disebut semula pada 5 Ogos ini untuk status laporan penilaian mental itu.
Pada 25 Jun lepas, Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook dilaporkan berkata lelaki yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (mental) dan ibunya dipercayai bertengkar dan bergelut sebelum warga emas itu ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas lantai di halaman rumahnya.
-- BERNAMA
#bunuh ibu #Negeri Sembilan #motif #kes mahkamah
;