Lelaki didakwa bunuh anak asuhan isteri

Yasmin Natasha
Mac 7, 2025 14:55 MYT
Muhammad Syafiq Daniel (kiri) dan Nur Nilam dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan masing-masing pada Jumaat. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang merupakan anak asuhan isterinya, Isnin lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Syafiq Daniel Osman, 26, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan bunuh ke atas seorang kanak-kanak lelaki, di bilik di sebuah hotel pada jam 1.15 pagi hingga 7.15 pagi, pada 3 Mac 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, isterinya, Nur Nilam Kamaruddin,26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menganiayai kanak-kanak yang sama, bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan penjaga telah menganiayai kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan terdapat kecederaan fizikal di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, Jalan Silang, pada jam 9 malam, 25 Februari 2025.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana mangsa meninggal dunia dan kes ini amat serius.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan dan sedang mengandung dua bulan.
“Saya mempunyai tiga orang anak, dua orang masih bersekolah. Kini, saya sedang mengandung dua bulan. Mohon budi bicara mahkamah untuk memberikan jaminan seminimum yang mungkin,” kata Nur Nilam.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan menetapkan 9 April bagi sebutan semula kes.
#kes dera #Kanak-kanak #mati #ibu bapa
;