Lelaki dicekup polis selepas cubaan ragut wang RM21,000

Bernama
Januari 25, 2016 22:00 MYT
Pada awalnya, peragut berjaya melarikan beg tersebut tetapi disebabkan jeritan mangsa, peragut itu berjaya ditahan oleh empat anggota polis. - Gambar hiasan
Polis berjaya menahan seorang peragut dan menyelamatkan wang tunai RM21,000 yang diragut daripada seorang wanita di hadapan sebuah pusat membeli belah di Kubang Kerian di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Baharom Abdullah berkata kejadian itu berlaku pukul 1 petang setelah mangsa berumur 36 tahun bersama dua anaknya yang berumur 5 dan 8 tahun selesai melakukan urusan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pusat membeli belah itu.
"Apabila mangsa mahu menghidupkan enjin keretanya yang diparkir di hadapan pusat membeli belah berkenaan, mangsa didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali dan membuka pintu sebelah pemandu lalu merampas beg mangsa yang diletakkan di sebelah brek tangan," kata Baharom kepada pemberita di Balai Polis Kubang Kerian, di sini.
Beliau berkata sebaik melihat lelaki itu merampas beg tangannya, mangsa keluar dari kereta dan menjerit "Pencuri", ketika itu juga berlaku pergelutan antara mangsa dan peragut.
"Pada awalnya, peragut berjaya melarikan beg tersebut tetapi disebabkan jeritan mangsa, peragut itu berjaya ditahan oleh empat anggota polis yang bertugas di Pondok Keselamatan Polis di situ selepas mengejarnya," katanya.
Baharom berkata siasatan awal mendapati suspek warga asing itu yang positif dadah, datang bersama seorang rakannya yang melarikan diri dengan motosikal.
Katanya, suspek lelaki berusia 19 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini. Polis sedang menjejaki rakan suspek itu.
Sementara itu, mangsa Wan Nor Asiah Wan Ismail, 36, seorang jururawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) patah pergelangan tangan kiri dan luka di siku akibat pengelutan itu.
Ia dirawat di HUSM.
#jururawat #ragut #warga asing
;