Lelaki dicederakan rakan ketika mahu tuntut hutang

Sinar Harian
Januari 12, 2022 02:47 MYT
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 30 tahun telah pergi ke rumah suspek yang berjanji untuk membayar hutang setelah mendapat gaji.
SEREMBAN: Hanya mahu menuntut hutang, seorang buruh kasar dipercayai dicederakan rakannya dengan objek tajam di tepi jalan berhampiran sebuah rumah di Taman Dusun Setia di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 30 tahun telah pergi ke rumah suspek yang berjanji untuk membayar hutang setelah mendapat gaji.
Menurutnya, berdasarkan keterangan, suspek telah meminjam wang daripada mangsa pada minggu lepas dan berjanji untuk membayar semula pada Selasa.
"Mangsa telah pergi ke rumah suspek seorang diri dengan menunggang motosikal, namun ketika mangsa mahu menuntut hutang daripada suspek, telah berlaku pertengkaran mulut antara kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.
Menurutnya, pertengkaran itu membawa kepada pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga kedua-duanya terjatuh.
Beliau berkata, ketika itu suspek dipercayai ada memegang satu objek tajam dan ia telah terkena pada dada sebelah kanan mangsa sehingga berdarah.
"Polis masih mengesan suspek lelaki berusia 28 tahun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan" katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#tuntut hutang #buruh kasar #Taman Dusun Setia #Nanda Maarof