Lelaki di bawah pengaruh dadah didakwa langgar polis
Abd Razak Mohd Ali
November 27, 2020 11:50 MYT
November 27, 2020 11:50 MYT
IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kemalangan dan kecederaan parah seorang anggota polis di satu sekatan jalan raya di sini Selasa lalu.
Nor Azman Mat Salleh, 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.
Dia dituduh menunggang sebuah motosikal di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan parah ke atas Koperal Mohd Aizal Md Lazim.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di satu sekatan jalan raya di Jalan Silibin, Ipoh, kira-kira jam 11.15 pagi, 24 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44 (1A) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#penagih
#Dadah
#langgar
#polis
#Sekatan Jalan Raya
#motosikal
#cedera parah
#Mohd Aizal Md Lazim
#Jalan Silibin
#Ipoh
#ikat jamin