Lelaki dedah terima upah RM800 bawa mercun, seluar jeans seludup

Bernama
April 14, 2022 04:30 MYT
Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengesan pihak-pihak lain yang terbabit dalam kes ini. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang lelaki mengaku menerima upah sebanyak RM800 bagi satu penghantaran sejumlah 264 kotak mercun dan 425 helai seluar jeans bernilai RM52,500, dari pangkalan haram di Pasir Mas ke Kota Bharu.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata perkara itu didedahkan suspek, ketika soal siasat selepas ditahan di Sekatan Pintas Serongga dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.
Beliau berkata dalam kejadian pada 4.45 petang itu anggota PGA7 telah menahan kereta jenis Naza Citra dipandu suspek, selepas dilihat mencurigakan.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan yang dipandu oleh suspek berusia 30 tahun itu telah menemukan sejumlah mercun dan pelbagai jenis seluar jeans, yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan ruangan but kenderaan tersebut.
"Kesemua barang yang dirampas dipercayai di seludup dari negara Thailand melalui pangkalan haram, untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, susulan itu pihaknya telah merampas kereta jenis Naza Citra bernilai RM17,000, 264 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM10,000 dan 425 helai seluar jeans bernilai RM42,500.
"Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah sebanyak RM69,500. Suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut, di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengesan pihak-pihak lain yang terbabit dalam kes ini dan tindakan lanjut akan dilakukan sekiranya menerima maklumat," katanya.
-- BERNAMA
#mercun #seluar jeans #rampas #seludup