Lelaki dakwa tikam ibu selepas terdengar 'bisikan' - Polis
Shuhada Abdul Kadir
Julai 5, 2022 19:49 MYT
Julai 5, 2022 19:49 MYT
TANGGA BATU: Terdengar bisikan kononnya ibu kandungnya menyembah berhala didakwa menjadi punca seorang lelaki menikam wanita itu, dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Rozizah Md Dom, 63, yang juga pesara guru ditemui maut di dalam bilik tidur kediamannya dalam keadaan berlumuran darah selepas ditikam pada bahagian kiri dan kanan leher.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah, berkata suspek berusia 38 tahun yang merupakan anak sulung mangsa mengaku menikam ibunya menggunakan pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm).
"Lebih kurang 15 minit kemudian (selepas kejadian) pihak polis berjaya menangkap anaknya.
"Anaknya mengatakan bahawa dia telah menikam ibunya oleh kerana telah mendengar satu bisikan yang menyuruhnya menikam ibunya kerana ibunya dikatakan menyembah berhala.
"Atas sebab itu suspek telah masuk ke dalam bilik ibunya dan menikam leher ibu dengan menikam sebilah pisau. Tikaman tu dibuat di bahagian leher sebelah kiri dan kanan menyebabkan ibunya meninggal dunia," katanya di sini, pada Selasa.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, suspek yang juga seorang duda tidak melarikan diri ketika ditahan dan semakan mendapati lelaki itu menghidap masalah mental dan mendapatkan rawatan psikiatri sejak empat tahun lalu di Hospital Melaka
Katanya, suspek juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing terhadapnya akan dibuat bagi mengenal pasti sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah atau tidak ketika kejadian.
Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Ayer Keroh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.