Lelaki dakwa Sultan Melaka ditahan reman 4 hari
Raffi Bachik
Januari 15, 2014 12:32 MYT
Januari 15, 2014 12:32 MYT
Ahli perniagaan Noor Jan Tuah yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka' ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuduhan menghasut di bawah Seksyen 41(1) Akta Hasutan 1948.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah, V. Kanasan di Kompleks Mahkamah Melaka di sini, pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata penahanan reman sehingga Sabtu ini adalah bagi membolehkanpihak polis menjalankan siasatan lanjut serta melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Sementara itu, polis membuat kawalan di hadapan pintu masuk kompleks mahkamah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Bagaimanapun tiada pengikut Noor Jan yang kelihatan di mahkamah sehingga dia dibawa meninggalkan kompleks itu dengan van polis.
Laporan sebelum ini menyebut polis mungkin akan menahan beberapa lagi pengikut Noor Jan bergantung kepada keperluan siasatan.
Noor Jan, 57, ditahan pada Selasa di Jeti Anjung Batu, Serkam ketika hendak menaiki feri ke Pulau Besar dipercayai bagi menghadiri satu upacara penyembelihan kambing sempena sambutan Maulidur Rasul.
Dia ditahan selepas polis menerima lapan laporan daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dan curiga dengan tindakannya yang berterusan mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka. Noor Jan membuat dakwaan itu sejak lapan tahun lalu.
Noor Jan pernah disiasat pada 2006 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dia juga sebelum ini mendakwa mendapat pengiktirafan sebagai Sultan Melaka daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh mahkamah itu.