Lelaki curi beg semasa jemaah sedang solat di Masjid Muhammadi Kota Bharu diburu
Bernama
April 29, 2023 12:40 MYT
April 29, 2023 12:40 MYT
KOTA BHARU: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dilihat mencuri beg silang seorang jemaah yang sedang bersolat pada waktu Zohor di Masjid Muhammadi di sini Rabu lepas, setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perbuatan itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada mangsa yang berusia 25 tahun pada pukul 2.50 petang hari yang sama, dan kerugian dianggarkan RM2,000 termasuk telefon bimbit dan wang tunai RM150.
"Suspek ketika itu memakai seluar panjang berwarna hitam, berkemeja putih dan berkopiah, dianggarkan berumur sekitar 30-an," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Sarjan Mohd Hafiz Muhammad Khila dengan menelefon 013-9529828 atau 09-7752200, atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA