Lelaki cuba selamatkan mangsa kebakaran, lemas dalam sungai berhampiran
Adie Sufian Zulkefli
November 12, 2021 10:23 MYT
November 12, 2021 10:23 MYT
ALOR SETAR: Seorang lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika cuba membantu sepupunya yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Hutan Betut, Mergong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 5.15 pagi tadi, mangsa, Mohamad Nazri Mohammad Saad, 48, dikatakan dalam perjalanan ke rumah sepupunya itu apabila tiba-tiba berasa lemah lalu berehat di sebuah pokok berhampiran sungai.
Mangsa kemudian dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan dan lemas.
Penduduk kampung bersama anggota bomba yang berada di lokasi bergegas membantu keluarkan mangsa dari sungai terbabit.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 5.32 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja tiba di lokasi untuk membantu memadam kebakaran sebuah rumah kelas B dua tingkat yang terbakar.
"Kebakaran itu menyebabkan lima buah kereta dan dua buah motosikal turut terbakar.
"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku pada keluarga mangsa kebakaran namun dimaklumkan terdapat seorang mangsa terjatuh ke dalam sungai berhampiran rumah terbakar itu.
"Laporan awal mendapati mangsa dipercayai terkejut berikutan kejadian kebakaran itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, ketika ini kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan di lokasi kebakaran dan peratusan kebakaran rumah berkenaan dianggarkan sebanyak 95 peratus.