Lelaki cuba rakam video wanita di Banting ditahan
Bernama
Disember 18, 2024 00:17 MYT
Disember 18, 2024 00:17 MYT
SHAH ALAM: Polis mengesahkan menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes cubaan gangguan seksual dan merakam video seorang wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata lelaki itu ditahan di sekitar Banting dan direman dua hari hingga esok.
"Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengaku bahawa dia adalah individu terbabit sebagaimana dalam rakaman kamera litar tertutup.
"Semakan mendapati, lelaki itu yang tidak mempunyai rekod lampau itu juga mengakui pertama kali melakukan perbuatan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Isnin, Akmalrizal dilaporkan berkata pihaknya memburu seorang lelaki berkaitan kes rakam dan gangguan seksual di sebuah pasar raya di Jenjarom, susulan laporan kes yang diterima pada 10.36 pagi, 9 Dis lepas oleh mangsa yang juga wanita warga tempatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA