Lelaki cetus provokasi terhadap anggota polis ditahan
Sinar Harian
November 22, 2021 06:00 MYT
November 22, 2021 06:00 MYT
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan kerana bertindak agresif dengan melontarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis di kilometer 2.6 di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala Lebuhraya Persekutuan di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam1.15 pagi itu, sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) cuba menahan sebuah kereta jenis Volkswagen Polo yang dipandu oleh suspek kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
"Kami telah mengarahkan suspek untuk berhenti namun pemandu itu enggan sehingga memaksa kami mengikut kenderaan itu, sebelum ia berhenti secara mengejut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohamad Fakhrudin berkata, semasa pihaknya hendak menjalankan pemeriksaan, suspek berusia 28 tahun itu bertindak agresif dengan melontarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.
"Suspek turut bertindak menarik baju anggota polis yang bertugas dan mengarahkan anggota tersebut supaya membuka uniform untuk bergaduh," katanya.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal alkohol yang dijalankan terhadap suspek menunjukkan tahap alkohol di bawah paras yang tidak berisiko.
"Hasil semakan rekod lampau mendapati, suspek mempunyai dua rekod berkaitan mencuri dan ugutan jenayah," katanya.
Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
*Berita asal di Sinar Harian
#penjawat awam
#Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
#Jalan Lapangan Terbang Subang
#guna telefon bimbit semasa memandu