Lelaki ceroboh, serang anggota di Balai Polis Balai Dato' Keramat ditahan

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 19, 2024 15:00 MYT
Suspek dilaporkan cedera sewaktu anggota polis cuba menahannya dan dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). - Gambar/ Astro AWANI
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menyerang anggota polis di Balai Polis Dato' Keramat, George Town pada Ahad.
Kejadian dikatakan berlaku jam 4.45 pagi tadi apabila lelaki tempatan berumur 35 tahun menunggang motosikal memasuki balai polis itu dan secara tiba-tiba menyerang anggota sentri yang sedang bertugas.
Sumber berkata, semasa kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Suspek dilaporkan cedera sewaktu anggota polis cuba menahannya dan dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)
"Suspek berjaya ditangkap namun mengalami kecederaan kecil semasa proses tangkapan dibuat dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, keadaan suspek stabil," kata sumber itu.
Difahamkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes berkenaan dalam masa terdekat
#serang anggota polis #balai polis #serang balai polis #Balai Polis Dato' Keramat #pulau pinang
;