Lelaki ceroboh istana dipenjara lima bulan
Bernama
Mei 27, 2020 13:36 MYT
Mei 27, 2020 13:36 MYT
Seorang bekas pekerja hotel dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menceroboh kawasan Istana Pasir Pelangi pada 22 Mei lepas.
Majistret Lee Jun Keong memerintahkan Juel Huran, 35, menjalani hukuman itu mulai hari ini.
Dalam penghakimannya, Lee berkata mahkamah memandang serius kesalahan itu kerana ia boleh mengancam keluarga diraja.
Mengikut kertas pertuduhan, Juel didakwa berada dalam kawasan istana pada 9.22 pagi 22 Mei lepas tanpa memiliki pas, kad atau permit yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang diberikan kuasa di bawah Perintah Kawasan Larangan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298) dan dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika merayu hukuman ringan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, berkata dia telah mengganggur sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan terpaksa menyara isteri yang tidak bekerja serta dua anak berusia enam dan 10 tahun.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Benedict Choong Kai-Qi.
-- BERNAMA
#Istana Pasir Pelangi
#Juel Huran
#keluarga
#keluarga diraja
#lelaki
#mahkamah
#penjara
#perintah kawalan pergerakan
#PKP