Lelaki cekal jaga anak angkat hidap skoliosis

Bernama
Ogos 2, 2023 06:00 MYT
Teo berkata dia menjaga remaja itu sejak berusia empat bulan dan mengambilnya sebagai anak angkat ketika melawat Lee di Hospital Melaka bersama ibunya pada 2007. - Foto BERNAMA
MELAKA: Biarpun hidup dalam serba kekurangan, seorang lelaki tetap berusaha mencari wang bagi menampung rawatan anak angkat perempuannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) menderita penyakit skoliosis atau tulang belakang bengkok sejak berusia empat tahun.
Teo Hock Teng, 58, yang sebelum ini bekerja sebagai pengumpul barangan kitar semula, berkata setiap dua atau tiga minggu dia perlu membawa Lee Jun Yee,16, mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Melaka atau di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, bagaimanapun. pendapatannya kini terjejas kerana tidak dapat bekerja berikutan mengalami masalah kesihatan dan hanya bergantung dengan bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan selain sumbangan keluarga dan rakan.
"Setiap kali pergi ke HKL kami memerlukan wang sekurang-kurangnya RM500 untuk menampung perbelanjaan dan tambang teksi bagi memudahkannya mendapatkan rawatan kerana keadaannya.
"Kebiasaanya apabila mempunyai wang yang mencukupi barulah saya membawa Lee ke hospital kerana kekangan masalah kewangan," katanya kepada pemberita, di sini, pada Rabu.
Terdahulu, beliau menerima cek sumbangan sebanyak RM32,000 hasil kutipan orang ramai yang dilancarkan Lions Club of Tanjung Bidara bagi menampung perbelanjaan dan rawatan anak angkatnya itu yang disampaikan Gabernor Daerah District 308 B1 Malaysia, Alex Thiam Poh.
Mengulas lanjut, Teo berkata Lee kini mendapatkan rawatan susulan bagi penyakit skoliosis dan fisioterapi di hospital berkenaan namun menunggu nasihat doktor bagi melakukan pembedahan tulang belakang.
Katanya, mereka kini juga menumpang di rumah kakaknya sejak dua tahun lepas di Banda Hilir kerana tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan di Taman Merdeka.
"Walaupun Lee bukannya anak kandung tetapi saya menyayangi dan menjaganya seperti darah daging sendiri dan rasa bertanggungjawab memastikan dia mendapatkan rawatan sebaiknya.
"Ketika kecil anak saya pernah menghidap penyakit jantung berlubang dan selain sakit tulang belakang bengkok, dia juga menghidap asma dan ada masanya diserang sawan," katanya.
Teo berkata dia menjaga remaja itu sejak berusia empat bulan dan mengambilnya sebagai anak angkat ketika melawat Lee di Hospital Melaka bersama ibunya pada 2007.
Katanya, sebelum ini juga anak angkat itu hanya terbaring di katil namun mula menunjukkan perubahan dan boleh berjalan ketika berusia 10 tahun.
Sementara itu, Alex berkata sumbangan orang ramai itu berjaya dikutip dalam masa dua minggu dan diharap dapat membantu meringankan beban keluarga berkenaan dan pihaknya juga komited untuk membantu mereka yang memerlukan.
-- BERNAMA
#skoliosis #Anak angkat #OKU #kesihatan
;