Lelaki cedera tertusuk panah ketika tangkap ikan
Sinar Harian
Februari 9, 2024 12:20 MYT
Februari 9, 2024 12:20 MYT
RANAU: Seorang lelaki cedera di bahagian tangan selepas tertusuk panah ketika menangkap ikan di Sungai Kihunut, Kampung Tambiau, di sini pada Khamis.
Mangsa berusia 18 tahun itu dihantar ke Hospital Ranau sebelum mendapatkan bantuan daripada pihak bomba bagi mengeluarkan anak panah tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.39 malam dan seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh satu kilometer.
"Terdapat seorang mangsa lelaki tertusuk panah di tangan kanan sedalam kira-kira tiga sentimeter semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan dan telah berada di hospital.
"Pasukan bomba bertindak memotong besi panah menggunakan pemotong besi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.53 malam sebaik mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian