Lelaki cedera tersepit, kereta rempuh belakang treler muatan serbuk plastik
Aida Aziz
Mei 23, 2023 09:20 MYT
Mei 23, 2023 09:20 MYT
BIDOR: Seorang lelaki cedera tersepit setelah kereta jenis Honda City yang dipandunya dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler membawa muatan serbuk plastik di hentian rehat dan rawat (R&R) Ladang Bikam, arah selatan di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.37 pagi.
Katanya lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda City melanggar belakang treler yang diparkir di bahu jalan menyebabkan seorang mangsa iaitu pemandu kereta tersebut tersepit dan cedera.
"Manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Anggota kemudiannya menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans bagi rawatan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Katanya lagi, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nasir Ibrahim itu tamat pada jam 8.14 pagi.