Lelaki cedera tersepit, kereta bertembung lori muatan kayu colok

Aida Aziz
Julai 2, 2022 10:10 MYT
Dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan itu, mangsa yang memandu Proton Wira tersepit dan cedera. - Foto JBPM Perak
TELUK INTAN: Seorang lelaki tersepit dan mengalami kecederaan setelah kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kayu colok di Jalan Padang Tembak, di sini awal pagi tadi.
Treler berkenaan turut terbalik di bahu jalan, bagaimanapun pemandunya dapat menyelamatkan diri dengan keluar sendiri sebelum pasukan penyelamat tiba.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 5.17 pagi.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung.
"Kejadian menyebabkan seorang mangsa iaitu pemandu Proton Wira tersepit dan cedera, manakala pemandu lori pula hanya cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkannya kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Abdul Hazhar Ismail itu tamat pada jam 6.25 pagi.
#treler bawa muatan kayu colok #kereta bertembung treler #treler terbalik #Teluk Intan
;