Kejadian pada jam 6.30 pagi itu berlaku selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori syarikat pembersihan berhampiran sebuah pasar raya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba di lokasi kereta terbabit sedang terbakar keseluruhan kenderaan dan tindakan awal dilakukan Komander Operasi memadam kebakaran terlebih dahulu.
“Ketika itu mangsa yang cedera berada di bahu jalan telah diselamatkan orang awam dan anggota EMRS memberi rawatan awal,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, mangsa lelaki berusia 39 tahun itu kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
Katanya, kenderaan itu terbakar 90 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan.