Lelaki cedera tangan tersepit pada mesin proses ayam

Bernama
November 19, 2023 18:00 MYT
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya menggunakan peralatan khas seperti gergaji dan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang pekerja lelaki cedera selepas tangannya tersepit pada mesin memproses ayam di Pasar Jelapang, Kampung Baru Jelapang dekat sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian terhadap lelaki berusia 33 tahun itu pada 11.31 pagi.
"Kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja memproses ayam. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya menggunakan peralatan khas seperti gergaji dan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke hospital dan operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 12.12 tengah hari.
-- BERNAMA
#tangan tersepit #Pasar Jelapang #mesin memproses ayam #bomba perak
;