Lelaki cedera, kereta jatuh gaung di laluan CSR

Norfarhiza Mohd Atar
November 13, 2022 07:30 MYT
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis membawa mangsa yang cedera dengan menggunakan pengusung. - Foto Ihsan JBPM Pahang
LIPIS: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung di laluan Projek Central Spine Road (CSR) Lipis-Merapoh, kira-kira 300 meter dari simpang Kampung Aur Gading, dekat sini, semalam.
Kejadian terbabit menyebabkan mangsa, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi, cedera patah paha kanan.
Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir mengesahkan kejadian itu susulan laporan diterima pihaknya kira-kira jam 2.53 petang.
"Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lipis bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
"Sampai di lokasi kejadian, pihak kami mendapati kenderaan terbabit dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung iaitu kira-kira sembilan meter dari jalan utama," katanya di sini semalam.
Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya bertindak memberi rawatan kepada mangsa dengan memasang 'upper splint' sebelum membawanya naik dengan menggunakan pengusung.
Jelasnya, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan selanjutnya di Hospital Lipis.
"Anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian dan kenderaan terbabit sebelum menamatkan operasi," ujarnya.
#lelaki cedera #laluan Central Spine Road #Lipis-Merapoh #kereta jatuh gaung
;