Lelaki cedera kereta dihempap pokok

Sinar Harian
Ogos 17, 2021 06:45 MYT
Kenderaan kereta mangsa remuk dihempap pokok tumbang di Gerik. -Foto ihsan bomba
GERIK: Seorang lelaki mengalami kecederaan ringan apabila kenderaan yang dipandunya dihempap pokok tumbang berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Batu 2, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Kancil berusia 42 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Pengkalan Hulu menuju ke Gerik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 2.56 petang.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kenderaan tersebut dihempap sebatang pokok tumbang dan mengenai bahagian hadapan kereta menyebabkan mangsa cedera di tangan.
"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi.
"Anggota bertindak memberi rawatan awal dan menghantarnya ke Hospital Gerik dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya.
Menurutnya, bomba kemudiannya meneruskan kerja-kerja memotong pokok sambil dibantu polis dan syarikat Belati Wangsa Sdn Bhd.
"Pasukan membantu memotong pokok dengan menggunakan gergaji berantai dan parang bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di tempat kejadian.
"Anggota memastikan keadaan sekeliling selamat untuk dilalui kenderaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 3.47 petang," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#dihempap pokok #bomba #Perodua #Azizul Aswad Asaris #EMRS #Belati Wangsa #gergaji berantai #parang #Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan
;