Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan
Mohd Surfri Affendi
Jun 13, 2023 08:45 MYT
Jun 13, 2023 08:45 MYT
KUCHING: Niat murni seorang pemuda untuk membantu seorang mangsa kemalangan terhalang apabila dia sendiri dirempuh kereta dalam nahas dua kenderaan awal pagi Selasa di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi di Jalan Song itu, mangsa, Jude Jimmy, 22, sedang membantu seorang pemandu kenderaan Perodua Myvi yang sebelumnya terbabas dan melanggar sebatang pokok.
Jude bagaimanapun tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda Lexus RX 200t, yang dinaiki dua lelaki.
Insiden itu menyebabkan Jude mengalami kecederaan di kaki kanan.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.13 pagi dan segera mengaktifkan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi.
"Setiba di lokasi, pasukan telah bertindak menstabilkan kecederaan Jude, sebelum mengeluarkan pemandu Myvi yang tersepit di ruang pemandu.
Kedua-dua mangsa, termasuk pemandu Myvi yang berusia 36 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan Pusat Rawatan KPJ masing-masing untuk rawatan lanjut.
Pemandu dan penumpang pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Henderi lagi.
Kes katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.