Lelaki cedera dipukul geng tunang
Bernama
Disember 19, 2017 11:47 MYT
Disember 19, 2017 11:47 MYT
Seorang pemuda cedera pada kepala dan beberapa bahagian anggota badan akibat dipukul 10 lelaki ketika ingin berjumpa dengan tunangnya dalam kejadian di sebuah restoran di Pekan Layang-Layang, Kluang, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu mangsa yang berusia 26 tahun itu bagaimanapun tiba-tiba ditolak dan dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali sebaik menghampiri tunangnya.
Berikutan itu, mangsa yang cedera telah membuat laporan polis di balai berdekatan.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham yang mengesahkan kejadian itu berkata, ia dipercayai berlaku ekoran tindakan mangsa yang memalukan tunangnya dalam laman Facebook dengan mengatakan tunangnya ada berhutang dengannya.
Dalam masa sama, tunang mangsa pula dikatakan ada 'orang' (teman lelaki) baharu yang tidak berpuas hati apabila mangsa mengganggu teman wanitanya dengan cara memberi mesej dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook.
"Suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi. -- Bernama