Lelaki cedera dalam kejadian tembakan di Klang

Bernama
Ogos 25, 2024 23:33 MYT
Cha berkata mangsa berusia 45 tahun itu dipercayai ditembak seorang lelaki yang menaiki sebuah MPV berwarna putih berdekatan restoran berkenaan. - Gambar hiasan/Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang lelaki cedera di punggung sebelah kiri dalam kejadian tembakan di sebuah restoran di Lebuh Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, di Klang pada 2.15 pagi, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa berusia 45 tahun itu dipercayai ditembak seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih berdekatan restoran berkenaan.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila MPV berkenaan berhenti berdekatan restoran sebelum lelaki tersebut turun dari kenderaan lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah individu yang duduk di luar restoran.
"Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Cha berkata mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan berada dalam keadaan stabil.
Cha berkata siasatan di tempat kejadian bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjumpai enam kelongsong peluru, satu anak peluru selain terdapat kesan tembakan pada kerusi dan dinding restoran.
Beliau berkata polis kini giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 untuk membantu siasatan.
-- BERNAMA
#tembakan #MPV #membantu siasatan #balai polis