Lelaki bunuh rakan serumah akibat tidak puas hati

Astro Awani
Julai 19, 2017 14:51 MYT
Mayat lelaki yang belum dikenal identiti itu ditemui mati dalam keadaan terlentang di atas sofa dalam rumah terbabit. - Gambar hiasan
Semuanya dikatakan bermula dengan rasa tidak puas hati sehingga tercetusnya pergaduhan menyebabkan seorang lelaki warga Indonesia, tergamak membunuh rakannya sendiri.
Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi tadi itu, mangsa berusia 38 tahun tersebut ditemui mati dengan berlumuran darah di kediaman mereka di Kampung Buluh Penyumpit, Mukim Kuah, di sini.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Bee Anak Amba, mayat lelaki yang belum dikenal identiti itu ditemui mati dalam keadaan terlentang di atas sofa dalam rumah terbabit.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dan rakannya disyaki bergaduh dan mereka hanya tinggal berdua di rumah batu setingkat itu sejak Februari lalu.
Kedua-dua mereka dipercayai bekerja sebagai penjual ayam di Pasar Awam Kampung Kelibang Langkawi.
Mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Manakala suspek yang turut tercedera di hantar ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk membunuh.
#Bee Anak Amba #bunuh rakan #Langkawi #membunuh #warga Indonesia
;