Lelaki bunuh dan buang mayat ibu dalam kumbahan najis didakwa esok

Astro Awani
Oktober 3, 2018 17:02 MYT
Minggu lalu, mayat seorang warga emas, Faridah Mat Hashim, 63, ditemukan didalam lubang najis selepas enam hari dilaporkan hilang. - Gambar fail
Lelaki yang disyaki membunuh ibunya dan membuang mayat mangsa ke dalam lubang najis di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau, akan didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau esok.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A.A Anbalagan berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes tersebut dan telah menyerahkannya kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang hari ini.
Dalam kenyataannya pada Rabu, Anbalagan berkata, PPN bersetuju untuk mendakwa lelaki berusia 29 tahun itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
BACA: Lelaki ditahan bunuh, sumbat ibu dalam tangki najis
Semalam, tempoh reman ke atas lelaki itu tamat sebelum Mahkamah Majistret Balik Pulau membenarkan sambungan reman ke atas suspek sehingga 9 Oktober ini.
Namun katanya, polis telah melengkapkan siasatan kes tersebut lebih awal sekaligus membolehkan lelaki itu didakwa di mahkamah esok.
Minggu lalu, mayat seorang warga emas, Faridah Mat Hashim, 63, ditemukan didalam lubang najis selepas enam hari dilaporkan hilang.
Mangsa dilaporkan menjadi mangsa bunuh anak kandung sendiri yang bertindak agresif akibat ketagihan menghidu petrol.
Susulan penemuan mayat Faridah, polis berjaya menahan anak lelaki yang juga suspek utama kes itu kira-kira jam 8.45 pagi di Jalan Air Putih, Balik Pulau yang turut menghilangkan diri selepas bertindak membunuh ibunya .
Hasil siasatan polis suspek mengaku menusuk sebilah pisau ke leher ibunya sebelum mengelar leher mangsa hingga meninggal dunia.
Suspek kemudian bertindak membuang mayat ibunya ke dalam lubang kumbahan najis dibelakang rumahnya sebelum menghilangkan diri.
Mayat mangsa kemudiannya dijumpai menantu lelaki yang melakukan pencarian selepas warga emas itu gagal ditemui.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#anak #bunuh #hidu petrol #kumbahan #mahkamah #mayat #meninggal dunia #petrol #polis #siasatan #tangki najis #warga emas
;