Lelaki bunuh, bakar ibu direman tujuh hari
Adie Sufian Zulkefli
Mac 3, 2025 10:30 MYT
Mac 3, 2025 10:30 MYT
Suspek (tengah) yang disyaki membunuh sebelum membakar ibunya tiba di Mahkamah Majistret Alor Setar, pada Isnin. Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah menetapkan tempoh tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula hari ini.
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang disyaki membunuh sebelum membakar ibunya di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas suspek yang berusia 43 tahun merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental itu dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret di sini.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek memakai baju lokap warna ungu dibawa ke mahkamah menggunakan trak polis kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Ujian urin ke atas suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod kesalahan lampau
Difahamkan, suspek didiagnos mengalami masalah mental pada Disember 2019.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan seorang wanita warga emas berusia 68 tahun maut dalam keadaan tragis apabila mayatnya ditemukan terbakar dipercayai akibat perbuatan anak lelakinya sendiri di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, pada pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan MERS999 berhubung satu kejadian mengamuk di sebuah rumah kampung di lokasi tersebut kira-kira pukul 7.48 pagi semalam.
"Sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian untuk tindakan awal sejurus maklumat diterima. Sebaik tiba di lokasi, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dipercayai suspek yang dikatakan mengamuk seperti dilaporkan.
"Pemeriksaan lanjut polis menemui satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah dipercayai telah dibunuh," katanya.