Lelaki Britain hilang selepas bertengkar dengan isteri

Bernama
Julai 6, 2014 17:35 MYT
Lelaki Britain hilang selepas bertengkar dengan isteri
Kegembiraan seorang isteri untuk berbulan madu di rantau ini nampaknya tergencat apabila suaminya, Jonathan Kemp, 27, menghilangkan diri selepas berlaku pertengkaran sesama mereka di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata, pasangan warga Britain itu tiba di negara ini Khamis lepas.
Semalam (Sabtu) pasangan itu dikatakan bertengkar di sebuah hotel di Bukit Bintang, pada kira-kira 12.30 tengah malam.
"Mereka (suami isteri) baru seminggu berkahwin dan sepatutnya esok mereka pergi ke Bali, Indonesia, namun sampai sekarang, lelaki itu tidak dapat dihubungi atau dikesan.
"Isterinya, Alyson Jackson, 24, cuba menghubunginya melalui telefon namun tidak berjaya.
"Menurut wanita itu, suaminya memakai seluar berwarna hitam dan baju berwarna putih, berbelang ungu ketika meninggalkan hotel itu," katanya.
Zainuddin berkata, sehubungan itu satu pasukan khas telah ditubuh untuk menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Sementara itu, Alyson ketika dihubungi berkata beliau percaya suaminya masih berada di negara ini kerana pasportnya berada di tangan Alyson.
"Esok, kami sepatutnya ke Bali. Saya cuba hubungi selfonnya. Hantar SMS dan Facebook, tetapi tidak dijawab," katanya.
#berkahwin #Britain #bulan madu #polis
;