Lelaki berlari dengan kesan kelaran dan tangan terikat gemparkan penduduk
Astro Awani
Mei 30, 2014 14:03 MYT
Mei 30, 2014 14:03 MYT
Aksi dua pendatang asing mengundang kekecohan dan mengejutkan penduduk di Taman Seri Putera, Kuala Kedah, di sini malam tadi.
Seorang dilihat berlari dengan leher berdarah, manakala seorang lagi berlari dengan dua belah tangannya terikat di belakang.
Menurut saksi, kedua-dua pendatang asing itu yang dipercayai warga Bangladesh, berlari sejauh kira-kira 300 meter sebelum salah seorang daripada mereka rebah akibat pendarahan di bahagian leher.
Seorang saksi, Zul Ismail berkata, mangsa dilihat berlari sehingga sampai ke sebuah gerai makanan sambil meminta pertolongan sebelum mendakwa mereka dirompak oleh orang yang tidak dikenali semasa berada di dalam rumah.
Zul yang tinggal bersebelahan dengan rumah sewa mangsa itu berkata, ketika kejadian pada pukul 8.30 malam itu beliau sedang menonton siaran berita di televisyen sebelum dikejutkan dengan kekecohan di luar rumah.
“Masa kejadian tu saya sedang menonton televisyen, lepas itu anak saya dan isteri saya masuk memberitahu kata ada orang bergaduh. Saya keluar hendak tengok, tetapi mereka terus berlari, mereka terus lari dan jatuh di hadapan kedai itu.
"Dekat situlah saya lihat seorang itu luka, seorang lagi tangan dia terikat dia tidak buat apa-apa, tidak luka apa, dia cuma tolong kawannya itu” kata Zul.
Menurut Zul, kedua-dua lelaki itu yang berusia sekitar 30an itu kemudian kelihatan dibawa oleh sebuah ambulan ke hospital setengah jam kemudian.
Kedua-duanya dipercayai baharu sebulan tinggal menyewa di taman perumahan itu.
Tinjauan wakil Astro AWANI ke rumah sewa lelaki terbabit mendapati pintu rumah mereka terbuka dan tiada penghuni di dalamnya.
Tiada sebarang tanda pergelutan berlaku dan terdapat sebilah pisau di atas pangkin rumah terbabit. Namun tiada langsung kesan darah ditemui.