Lelaki bergelar 'Datuk' dikehendaki polis ditahan, direman di Kelantan

Bernama
Mac 11, 2024 23:00 MYT
Polis menahan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ hari ini, yang merupakan salah seorang daripada empat yang dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes ugutan dan mencederakan mangsa di Kota Bharu baru-baru ini. - Foto BERNAMA
PASIR MAS: Polis menahan empat lelaki yang disenarai sebagai orang yang dikehendaki, termasuk seorang bergelar 'Datuk' hari ini, berkaitan dengan kes ugutan dan mencederakan mangsa di Kota Bharu, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki bergelar Datuk yang berumur 56 tahun itu ditahan di simpang empat Binjai di sini, kira-kira pukul 6 pagi tadi ketika sedang memandu kenderaan secara bersendirian, dan dia kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
"Perintah reman telah dikeluarkan oleh Mahkamah Kota Bharu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Go To Safety Point di perkarangan stesen Petronas Chetok, di sini.
Beliau berkata lelaki itu yang juga presiden sebuah kelab tinju profesional negeri turut disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
Pada 4 Mac lepas polis dalam kenyataanya berusaha mengesan empat lelaki yang dikehendaki bersabit beberapa kesalahan jenayah di Kota Bharu, yang dikenali sebagai Mohd Fared Abdul Ghani, 56, Mohd Izani Ibrahim, 42, Mohd Haziman Hikamarhakimi, 37, dan Wan Sharilazry Wan Mohd Sukry, 35.
-- BERNAMA
#lelaki bergelar Datuk #Polis Kelantan #Kota Bharu #orang yang dikehendaki
;