Lelaki berdepan detik cemas, rumah dirempuh mesin tuai padi

Adie Sufian Zulkefli
April 8, 2020 16:28 MYT
Keadaan mesin memproses padi yang terbabas dan merempuh dinding rumah malam tadi. - Foto Astro AWANI
"Saya hanya mampu minta tolong ketika bongkah bata menghempap tubuh, manakala serpihan siling pula menimpa muka. Seolah-olah ajal dah sampai."
Demikian luahan Idris Yaacob, 74, yang nyaris maut apabila sebuah mesin memproses padi terbabas dan merempuh dinding rumahnya di Kampung Teluk Toi, Jerlun, Kedah malam tadi.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, Idris yang tidak dapat berjalan akibat diserang angin ahmar sejak lima tahun lalu sedang tidur dalam keadaan mengiring di ruang tamu.
Kejadian berlaku apabila anak sulungnya, Khairul Anuar Idris, 51, cuba mengendalikan sebuah jentera mesin jentuai padi untuk diparkir di halaman rumah mereka.
Namun, jentera itu dikatakan mengalami masalah apabila enjinnya gagal berfungsi menyebabkan mesin itu hilang kawalan dan terus meluru.
Mesin penuai yang masih bergerak itu kemudiannya merempuh bahagian depan rumah berkenaan sebelum Khairul Anuar bergerak ke belakang mesin itu dan mematikan suis enjin.
Menurut Idris, ketika kejadian, dia sedang tidur selepas makan ubat manakala isterinya, Aishah Md Isa, 70, anak serta menantu dan cucunya berada di dapur untuk menikmati makan malam.
Dia yang juga mantan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu berkata, sejurus kejadian, anaknya membawanya ke Hospital Jitra untuk diperiksa namun doktor mengesahkan dia tidak mengalami kecederaan serius.
“Batu lekat dekat atas paha pakcik baru rasa sakit. Semalam mereka bawa terus pergi Hospital Jitra, sakit di dada, batuk. Hospital Jitra x-ray namun tidak ada apa-apa (serius),” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
#Jerlun #Kedah #lelaki nyaris maut #maut #mesin tuai padi #rumah #rumah dirempuh mesin tuai padi
;