Lelaki bawa cecair ketum rempuh sekatan jalan raya

Shuhada Abdul Kadir
Februari 10, 2019 06:42 MYT
Lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda C70 berkenaan turut dikesan tidak mempunyai lesen memandu. - Astro AWANI/Shuhada Abdul Kadir
Akibat panik, seorang lelaki bertindak merempuh sekatan jalan raya di Plaza Tol Senawang dalam satu operasi khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan cuba melarikan diri kerana membawa cecair dipercayai ketum dan mengalami kecederaan di muka dan tangan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan, Zamakhshari Hanipah memberitahu, lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda C70 berkenaan turut dikesan tidak mempunyai lesen memandu.
Ujarnya, ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya bagaimanapun didapati negatif.
"Kadang-kandang sesuatu yang kita tidak sangka berlaku. Sebenarnya dia merempuh sekatan itu bermakna dia telah lakukan satu kesalahan.
"Selepas kemalangan ini berlaku, kita dapati dia membawa air ketum," jelasnya.
Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata kes berkenaan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi siasatan lanjut.
Penguatkuasaan khas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2019 diadakan selama dua minggu dari 20 Januari hingga 12 Februari 2019.
Setakat 9 Februari, sebanyak 4,872 kenderaan telah diperiksa di mana 2,173 kesalahan dicatatkan.
Turut terlibat dalam operasi ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen, AADK, SPRM, JAS dan Kastam.
#kemalangan #operasi #operasi khas #polis #Tahun Baharu Cina #Zamakhshari Hanipah
;