Lelaki bawa 10 pendatang asing dalam MPV, ditahan

Bernama
November 3, 2019 21:00 MYT
MOHD TAIB: Suspek memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan ketika pihak polis menggunakan pembesar suara mengarahkan pemandu berhenti untuk pemeriksaan, suspek terus memecut laju dengan agresif. - BERNAMA
Cubaan seorang lelaki warga tempatan membawa 10 pendatang asing tanpa izin menggunakan sebuah kenderaan gagal apabila kesemua mereka berjaya ditahan di Jalan Senai Utama, Taman Senai Utama Kulai, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata lelaki berusia 31 tahun yang membawa tiga wanita dan tujuh lelaki warga Indonesia itu pada mulanya melarikan diri daripada pemeriksaan polis ketika berada di Jalan Skudai, berhadapan pusat membeli-belah Paradigm Mall pada 1.30 pagi Ahad.
Beliau berkata, suspek bersama 10 pendatang asing berusia antara 20 hingga 40 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dinaiki mereka terbabas.
Katanya, lima unit Kereta Peronda (MPV) polis terlibat ketika mengejar kenderaan suspek yang mengambil masa 20 minit.
"Suspek memandu kenderaan dalam keadaan mencurigakan dan ketika pihak polis menggunakan pembesar suara mengarahkan pemandu berhenti untuk pemeriksaan, suspek terus memecut laju dengan agresif.
"Dengan bantuan MPV lain, sebaik tiba di jalan berkenaan, kenderaan dipandu suspek terbabas dan terus berlanggar dengan sebuah MPV hingga menyebabkan MPV berkenaan mengalami kerosakan di bahagian pintu hadapan dan belakang sebelah kiri," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mohd Taib berkata suspek kemudian bertindak melarikan diri ke kawasan semak berdekatan tetapi berjaya dikesan dan ditangkap pihak polis.
Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga asing berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen diri yang sah untuk berada di negara ini.
"Bagaimanapun semakan terhadap pemandu tiada rekod dikehendaki," katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan berkenaan dan satu telefon bimbit.
Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan.
-- BERNAMA
#Johor Bahru #Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara #Mohd Taib Ahmad #pendatang asing #suspek