Lelaki Bangladesh ditemui mati, rakan tidak sedarkan diri

Bernama
Mac 3, 2014 09:30 MYT
Seorang lelaki Bangladesh ditemui mati manakala rakan senegaranya tidak sedarkan diri di hentian bas di Jalan Chain Feri, di sini, Ahad.
Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui terbaring di tempat duduk hentian bas itu oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 6.50 petang.
"Anggota polis yang tiba di tempat kejadian kemudiannya menghubungi ambulans dan seorang daripadanya disahkan telah mati manakala seorang lagi tidak sedarkan diri," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Baharom Abu ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya manakala rakannya turut dirawat di hospital berkenaan dan telah sedar.
"Sebaik dia boleh bercakap, kami panggil juru bahasa Bangladesh untuk merakam keterangan lelaki berkenaan dan menurutnya mereka berada di Pulau Pinang sejak 17 hari lepas dan dijanjikan pekerjaan oleh sindiket yang menguruskan perjalanan mereka.
"Siasatan awal mendapati mereka yang berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan diri itu sedang menunggu seseorang di hentian bas berkenaan selepas dihantar oleh seorang lelaki dipercayai anggota sindiket yang membawa dua lelaki itu masuk ke negara ini," katanya.
Baharom berkata setakat ini polis belum mengenal pasti punca sebenar kejadian kerana menurut mangsa dia juga tidak pasti apa yang berlaku dan hanya sedar selepas berada di hospital.
Beliau berkata setakat ini polis menyifatkan kes itu sebagai mati mengejut bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan.
"Tiada sebarang kesan kecederaan di badan mereka dan kami akan tunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.
#Baharom Abu #lelaki bangladesh #mati
;