Lelaki Bangladesh ditahan bersama syabu RM1.2 juta
Nazialita Geynna Maharan
November 30, 2017 15:20 MYT
November 30, 2017 15:20 MYT
Syabu bernilai RM1.2 juta disorokkan dalam bungkusan teh cina jadi taktik seorang lelaki Bangladesh untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Taktiknya terbongkas hasil serbuan ke atas sebuah bilik hotel di Sungai Siput itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sekitar jam 11.30 malam Selasa selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, polis menemui 17 paket plastik pembungkus teh cina seberat 17.2 kilogram dipercayai mengandungi dadah jenis syabu tersimpan dalam sebuah kotak.
''Suspek yang ditahan berusia 32 tahun dan rampasan ini menjadi yang terbesar bagi dadah jenis syabu oleh polis Perak tahun ini,'' katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, polis percaya hotel yang diserbu dijadikan sebagai transit sebelum diedarkan ke negeri lain.
''Siasatan awal mendapati suspek sudah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu.
''Pasport suspek juga tamat tempoh tahun lalu dan dia dipercayai berada di Sungai Siput sejak tinggu minggu lepas,'' ujarnya.
Bagaimanapun, ujian air kencing suspek menunjukkan dia bebas dari sebarang bentuk dadah.
Suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
#Bangladesh
#Dadah
#hotel
#hukuman mati mandatori
#Ipoh
#mati
#narkotik
#pasport
#Perak
#polis
#Seksyen 39B
#Sungai Siput
#suspek
#Syabu
#teh Cina
#transit