Lelaki bakar teman wanita hingga melecur ditahan polis

Bernama
Februari 15, 2016 07:37 MYT
Khamis lalu, teman wanita suspek melecur 40 peratus di badan selepas dipercayai dibakar lelaki itu menggunakan minyak tanah di sebuah premis berhampiran sebuah pasar raya di Pandan Seri Alam, di sini kira-kira 11.30 pagi, Khamis. - Foto Fail
Seorang pengganggur lelaki berusia 31 tahun ditahan polis di sini pada Ahad selepas dipercayai membakar teman wanitanya, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC Kamarulzaman Mamat berkata suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, ditahan di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya, kira-kira pukul 5 petang.
"Kami dapati ada kesan terbakar di tangan dan kakinya dipercayai akibat kejadian itu," katanya dalam kenyataan di sini pada semalam.
Khamis lalu, teman wanita suspek melecur 40 peratus di badan selepas dipercayai dibakar lelaki itu menggunakan minyak tanah di sebuah premis berhampiran sebuah pasar raya di Pandan Seri Alam, di sini kira-kira 11.30 pagi, Khamis.
"Suspek dikatakan bertindak demikian kerana cemburu dan wanita itu kini masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail," katanya sambil menambah suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam hingga 21 Februari.
#bakar #jenayah #Kamarulzaman Mamat
;