Lelaki asing ditahan lakukan khianat kenderaan berhampiran Terminal Bas Batu Pahat
Bernama
Oktober 21, 2024 10:45 MYT
Oktober 21, 2024 10:45 MYT
BATU PAHAT: Seorang lelaki warganegara asing berusia 25 tahun ditahan kerana melakukan khianat terhadap beberapa kenderaan yang diparkir berhampiran Terminal Bas Batu Pahat semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, penahanan itu susulan tularnya satu rakaman video di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki mematahkan pengelap cermin kereta yang diparkir.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sekitar pukul 3.30 petang semalam, dan berdasarkan maklumat yang diterima daripada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), pihak polis berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut.
"Polis menjumpai sebilah pisau lipat dalam beg sandang suspek semasa tangkapan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 437 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
"Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, rakaman berdurasi 16 saat yang tular di laman sosial TikTok menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga asing mematahkan pengelap cermin beberapa kenderaan di parkir dengan ekspresi marah. - BERNAMA